Oleh Abdelaziz Abughoush
Penduduk Gaza harap sokongan, bantuan elak tragedi kemanusiaan lebih buruk
ENAM puluh tahun sudah berlalu sejak peristiwa Al-Nakba melanda rakyat Palestin pada 1948, yang mengakibatkan mereka menjadi rakyat tanpa negara, dihalau dari tanah air sendiri dan hidup dalam suasana 'perang' yang belum lagi diketahui bila akan berakhir.
Hingga hari ini, lebih separuh daripada rakyat Palestin terus hidup di kem pelarian di seluruh rantau Asia Barat dan ramai yang menumpang kasih di negara orang.
Kewujudan mereka begitu rapuh dan bersifat sementara. Generasi demi generasi terus menunggu untuk mendapatkan hak untuk kembali semula ke tanah air mereka � hak yang perlu diserahkan semula kepada seluruh pelarian antarabangsa.
Mereka masih sabar menunggu keadilan untuk memihak kepada mereka, pada masa sama terus melalui masa yang sukar dan penuh derita dengan penuh kesabaran.
Lebih 40 tahun, berjuta-juta rakyat Palestin menjadi pelarian dan hidup menderita di bawah penjajahan tentera Israel. Hak mereka untuk hidup sebagai manusia bertamadun, terus dinafi dan dicabuli, apa lagi hak bagi menentukan kehidupan sendiri.
Tahun demi tahun berlalu, penderitaan pelarian Palestin terus berlarutan dan situasi semakin buruk apabila semakin banyak krisis dan tragedi berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama di Semenanjung Gaza dan kem Nahr el-Bared di utara Lebanon.
Keadaan di kem pelarian di dalam kawasan yang diduduki, terutama Gaza, amat menyedihkan. Mereka hidup dalam suasana amat daif, tidak selamat, tidak stabil dan mengalami trauma demi trauma berikutan tindakan ganas Israel yang langsung tidak menghiraukan kritikan dunia.
Keadaan semakin membebankan dalam 10 tahun terakhir ini, apabila Israel tanpa menghiraukan kutukan dunia mengawal pergerakan seluruh rakyat Palestin yang berada dalam wilayah yang diduduki mereka, termasuk mereka yang sakit dan memerlukan rawatan di luar Gaza.
Lebih menyayatkan hati, golongan Yahudi turut mengawal dan menyekat pergerakan kemasukan barang ke wilayah ini, termasuk makanan, ubat-ubatan, bahan binaan, minyak dan keperluan asas lain.
Hukuman secara kolektif yang dikenakan ke atas rakyat Palestin ini mencabuli Konvensyen Geneva Keempat, di samping pelbagai peruntukan undang-undang hak asasi manusia.
Ia memberi kesan serius ke atas seluruh aspek kehidupan rakyat � kadar pengangguran yang tinggi, kemiskinan, kebuluran, penyakit, anak tidak mampu ke sekolah, keselamatan yang sentiasa diancam � yang sudah pasti menyemarakkan perasaan marah, benci, kecewa dan suasana tegang di kalangan rakyat Palestin pada setiap masa.
Situasi yang tidak boleh diterima dalam suasana dunia hari ini, membuatkan kami berharap masyarakat dunia memberi tekanan lebih serius bagi menangani krisis yang semakin buruk.
Israel mesti dikenakan tekanan bagi menghormati undang-undang antarabangsa dan dipaksa menarik balik kepungan yang dikenakan ke atas Gaza.
Mereka juga perlu membuka semula semua sempadan yang selama ini menyekat pergerakan rakyat Palestin serta kemasukan barang keperluan, terutama makanan dan bantuan perubatan yang amat diperlukan rakyat kami.
Ini adalah tanggungjawab moral, undang-undang, politik dan kemanusiaan, yang perlu digerakkan secepat mungkin jika kita ingin mengelak daripada berlaku tragedi kemanusiaan lebih buruk di Semenanjung Gaza.
Keadaan di wilayah diduduki Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur, pada ketika ini amat suram. Perkembangan yang diharap dapat dilihat dalam proses damai baru dilancarkan semula terus samar, sebaliknya semakin banyak cabaran muncul.
Israel terus melakukan kempen penjajahan secara haramnya melalui pembinaan penempatan haram, tembok yang semakin mengepung rakyat Palestin dan mengenakan pusat pemeriksaan yang amat mengaibkan di seluruh wilayah diduduki Palestin.
Ketika ini, sebanyak 161 penempatan penuh Israel dibina dan sekurang-kurangnya 96 kem kawalan haram dibina di dalam wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Selatan.
Semua penempatan ini diduduki lebih 450,000 rakyat Palestin � majoriti mereka lengkap memiliki senjata api. Perlu ditegaskan di sini bahawa semua tindakan Israel ini adalah bertentangan dengan inisiatif pelan damai dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Justeru, rakyat Palestin amat mengharapkan sokongan dan bantuan masyarakat antarabangsa untuk membela mereka. PBB mempunyai tanggungjawab tetap untuk meleraikan konflik yang sudah tidak tertanggung rakyat Palestin.
Saya yakin, konflik Palestin hari ini tidak boleh dileraikan dengan senjata api, sebaliknya ia hanya boleh ditamatkan dengan penyelesaian politik. Sudah terlalu banyak inisiatif ke arah perdamaian diambil � resolusi PBB, Inisiatif Damai Arab, Pelan Damai Palestin-Israel dan Pelan Damai Madrid � namun belum ada satu pun dapat mengatasi sikap angkuh Israel yang terus menyeksa rakyat Palestin.
Justeru, saya melihat satu-satunya cara paling praktikal untuk memaksa Israel bertanggungjawab atas tindakannya ke atas Palestin selama ini ialah masyarakat antarabangsa mesti menggunakan undang-undang antarabangsa dan Resolusi PBB.
Hanya dengan cara itu, masyarakat antarabangsa boleh menamatkan keganasan Israel dan memaksa ia mematuhi undang-undang antarabangsa dikenakan ke atasnya.
Dalam perjalanan kehidupan yang penuh derita selama berdekad-dekad dan kehilangan yang tidak lagi mampu diucap dengan perkataan, rakyat Palestin amat berharap masyarakat antarabangsa dapat menggandakan usaha untuk merealisasikan impian mereka memiliki sebuah negara Palestin merdeka, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Dalam penderitaan yang kelihatan seperti tidak berpenghujung ini juga rakyat Palestin berdoa negara dunia akan sama-sama mengembalikan hak mereka sebagai manusia bertamadun.
Walaupun impian itu masih belum dicapai, bagi pihak rakyat Palestin, saya mengucap terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang amat prihatin dan tidak henti-henti memberi sokongan kepada perjuangan kami yang masih belum tahu di mana hujungnya.
Penulis ialah Duta Palestin ke Malaysia
FAKTA:
No comments:
Post a Comment