Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Showing posts with label Bicara Kalbu. Show all posts
Showing posts with label Bicara Kalbu. Show all posts

Sunday, August 31, 2008

Cara atasi marah, panas baran

Bersama Jakim

SAYA seorang yang panas baran. Perkara yang kecil pun boleh menyebabkan saya menjadi sangat marah dan menjadi mangsa adalah isteri dan anak. Lebih teruk ketika marah, tangan saya seperti ringan hendak memukul atau menampar. Selepas marah hilang, saya selalu menyesal, terutama apabila melihat anak ketakutan.

Walaupun tahu sifat ini buruk dan memalukan, saya sukar mengatasi masalah ini.

Saya ingin meminta nasihat dan panduan untuk mengatasi masalah ini. Apakah pendekatan Islam untuk mengatasi sikap panas baran atau adakah ayat al-Quran tertentu yang boleh diamalkan.

Bapa garang,
Kuala Lumpur


Sifat pemarah dan panas baran adalah suatu emosi yang kadang-kadang berlaku kepada manusia biasa. Marah tidak digalakkan di dalam Islam dan perlu dikawal kerana ia memberi impak negatif terhadap keperibadian, keseimbangan akal dan keharmonian masyarakat.

Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:

· Mengubah Posisi. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring." (Riwayat Muslim)

· Berwuduk. Rasulullah SAW bersabda: "Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk" (Hadis Riwayat Abi Daud) .

· Minum air.

· Mendiamkan diri ketika marah.

· Berlindung kepada Allah daripada syaitan.

· Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

· Berfikiran positif.

· Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.

· Bawa bertenang seperti menarik nafas.

· Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

Berwuduk sebelum tidur elak gangguan syaitan

Bersama Jakim

ANAK saya yang berumur enam tahun mengadu takut tidur sendirian dalam bilik dan meminta saya menemaninya. Dia memberitahu sering bermimpi buruk dan takutkan hantu. Walaupun ada pendekatan moden untuk mengatasi masalah ini, saya ingin tahu cara Islam menanganinya. Apakah amalan yang perlu dilakukan sebagai orang Islam, sama ada kanak-kanak atau orang dewasa sebelum masuk tidur.

Jawapan:


Berdasarkan hadis; dari Barra' Bin 'Azib bahawasanya Rasulullah bersabda: "Apabila kamu hendak ke tempat tidur, maka berwuduklah seperti wuduk kamu untuk menghadiri solat..." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim). Ia adalah saranan berwuduk ketika hendak tidur. Jika seseorang sudah mempunyai wuduk, maka tidak perlulah mengangkat wuduk lain, kerana maksud saranan itu sudah tercapai iaitu orang Islam perlu tidur dalam keadaan suci dikhuatiri maut menjemput pada ketika itu. Bersuci juga dapat menjauhkan diri daripada gangguan syaitan dan mententeramkan diri daripada perasaan takut ketika tidur.

Oleh itu, antara perkara diajar Islam sebelum tidur ialah:

· Mengambil wuduk

· Membaca zikir yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Saiditina Fatimah dan Saidina Ali ketika hendak tidur hendaklah bertasbih sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali.

· Membaca ayat Qursi kemudian menyapu muka serta melurutkan tangan ke arah kaki sekadar capaian tangan dan diulang tiga kali.

· Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas serta al-Fatihah.

· Bermuhasabah di atas dosa-dosa harian yang dilakukan sepanjang hari lalu memohon ampun kepada Allah dan berazam melakukan perkara lebih baik pada keesokan harinya.

· Berdoa kepada Allah dengan berserah diri kepada-Nya antaranya doa yang bermaksud: "Ya Allah dengan menyebut nama-Mu aku mati dan hidup".

· Mengucap dua kalimah syahadah kerana dikhuatiri malam itu adalah tidur terakhir bagi kita. Moga-moga kalimah toyyibah itu menjadi kalimah terakhir dilafaz dalam perjalanan menemui Allah SWT.

Umat Islam juga diajar bagaimana menangani persoalan mimpi seperti diriwayatkan Abdullah bin Abu Qotadah bahawasanya Rasulullah bersabda: "Mimpi yang baik daripada Allah, sedangkan mimpi yang buruk daripada syaitan, maka apabila salah seorang di antara kamu bermimpi buruk hendaklah ia meludah ke arah kiri dan mohonlah perlindungan kepada Allah dari keburukannya, sesungguhnya hal itu tidak akan memudaratkannya". (Riwayat Bukhari Muslim)

Apabila bermimpi sesuatu perkara yang baik hendaklah memuji Allah dan menceritakannya kepada orang yang menyukai, tetapi jika sebaliknya hendaklah memohon perlindungan kepada Allah, kemudian meludah ke arah kiri tiga kali, berpindah tempat, solat dua rakaat dan jangan menceritakan kepada seorang pun supaya tidak timbul andaian dan pandangan yang bukan-bukan yang boleh menimbulkan ketakutan atau keluh kesah.

Panduan laksana puasa secara berkesan

Bersama Jakim

SETIAP tahun umat Islam berpuasa sepanjang Ramadan. Saya bertekad menjadikan Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Saya tidak lagi hanya mahu menahan lapar dan dahaga, tetapi masih melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam, walaupun pada pandangan sesetengah orang, perbuatan itu hanya dosa kecil. Saya ingin berubah. Bagaimanakah saya boleh melaksanakan ibadah selama sebulan ini dengan berkesan.

Jawapan:

Puasa adalah ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mengenai puasa:

"Puasa ada tiga kedudukan : Puasa Umum, puasa Khusus dan puasa khusus al-Khusus. Puasa Umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa Khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa. Puasa khusus ialah menahan hati daripada keinginan buruk dan tidak memikirkan sesuatu selain daripada Allah dan ini ialah puasa nabi, al- Siddiqin dan al- Muqarrabin.

Seseorang berazam dan bercita-cita melaksanakan puasa dengan berkesan; Pertama hendaklah berpuasa dengan penuh ketaqwaan kepada Allah SWT kerana mengharapkan pahala dan reda-Nya. Kedua, perlu bermujahadah daripada melakukan ataupun menghampiri perkara menerbitkan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Ketiga, perlu bersabar dalam menghadapi keinginan diri dan godaan luaran yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Imam al- Ghazali juga menggariskan panduan bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang salih, seseorang perlu menyempurnakan enam perkara iaitu;

· Menundukkan pandangan dan menahan diri daripada melihat perkara tercela dan dibenci syariat dan melalaikan hati.

· Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya.

· Menahan diri daripada mendengar perkataan dibenci syarak.

· Menahan anggota tubuh daripada melakukan perkara haram seperti menahan perut daripada memakan makanan yang haram atau syubhah.

· Makan makanan halal berlebihan sehingga terlampau kenyang.

· Perlu timbul dalam hati, perasaan takut dan berharap agar puasa dilaksanakan diterima Allah SWT dan diampunkan dosa.

Bagi mencapai ibadah puasa Ramadan ini dengan lebih berkesan disarankan dan wajar sekali menuruti panduan di atas.

Wednesday, June 18, 2008

Penama caruman KWSP bukan penerima wasiat

SUAMI saya meninggal dunia setahun lalu akibat barah usus. Suami meninggalkan harta yang kini dalam proses untuk mendapatkan surat faraid dan pentadbiran harta dari Mahkamah Tinggi. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah suami dikeluarkan tanpa menunggu surat pentadbiran harta dari mahkamah. Wang itu dibolot bapa mentua kerana mengikutnya arwah suami menamakan beliau sebagai penama untuk caruman KWSP. Beliau berkata saya dan anak tidak berhak langsung ke atas simpanan itu dan ia adalah wasiat daripada arwah suami.

Ibu Tunggal

Kuala Lumpur

HUKUM mengenai harta pusaka mempunyai hikmahnya tersendiri iaitu antaranya mewujudkan kasih sayang, menanam semangat kemesraan, tolong menolong dan bertimbang rasa antara ahli waris.

Harta pusaka dibahagikan mengikut susunan yang diatur mengikut susun galur dinyatakan dengan terperinci dalam al-Quran. Nas al-Quran berhubung pengagihan harta pusaka amat jelas dan dibuat secara terperinci. Nas ini tidak memerlukan penafsiran lain, melainkan apa yang dinyatakan secara tersurat dan jelas.

Pemberian harta pusaka kepada waris yang berhak menerimanya bertujuan menghapuskan rasa kekecewaan serta penindasan di kalangan ahli waris. Perasaan kasih sayang dan timbang rasa dapat diukur dan dihasilkan dengan cara ini.

Hal ini kerana perlakuan hidup manusia kadang-kadang tidak selari dengan kehendak atau tuntutan syarak, terutama dalam perkara membabitkan harta benda, wang ringgit atau kedudukan.

Perpindahan harta pusaka ke tangan waris kadang-kadang dilakukan secara bertentangan dengan hukum syarak atas tujuan tertentu. Sebenarnya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu. Ia juga boleh berlaku akibat kejahilan seseorang atau sifat tamak ingin memonopoli harta pusaka itu.

Memang benar wasiat adalah antara perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum pengagihan harta pusaka dibuat. Begitu pun, bapa mentua puan tidak boleh menerima wasiat daripada anaknya kerana beliau adalah ahli waris yang berhak menerima pusaka.

Dalam Islam, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan kadar wasiat juga hendaklah tidak melebihi 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta si mati. Ada beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi sebelum dapat dikatakan wasiat itu adalah sah di sisi hukum syarak.

Jika penamaan dibuat, KWSP memang berhak mengeluarkan wang simpanan itu kepada penama. Oleh itu, bukan menjadi kesalahan kepada KWSP mengeluarkan wang caruman itu kepada bapa mentua puan, melainkan puan terlebih dulu mendapat perintah mahkamah menghalang KWSP mengeluarkan caruman itu atau menghalang bapa mentua daripada mengambil wang itu.



Penamaan akaun caruman KWSP tidak boleh disifatkan sebagai wasiat. Hal ini kerana ia tidak memenuhi beberapa syarat wasiat seperti lafaz wasiat, kesaksian, kadar yang dibolehkan harta diwasiatkan, kepada siapa dinamakan dan ketiadaan milikan sempurna atas simpanan itu.

Bagi orang Islam, penamaan akaun caruman KWSP hanya bagi membenarkan KWSP mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak. Pengeluaran wang dengan cara ini tidak mengambil masa lama di mana waris tidak perlu menunggu sijil faraid dan surat pentadbiran harta pusaka dikeluarkan. Penama bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengagihkan wang itu mengikut hukum faraid.

Sebenarnya, ketika wang simpanan itu dikeluarkan, penama berkenaan dikehendaki menandatangani surat aku janji bahawa beliau akan mengagihkan wang simpanan itu mengikut faraid. Kegagalan mematuhi aku janji itu memberi kesan kepada penama dari sudut undang-undang. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penama itu.

Penama bukan menjadi pemilik wang simpanan itu. Penama sebenarnya diamanahkan oleh orang yang menamakannya untuk mentadbir harta berkenaan supaya ia dapat diagihkan mengikut hukum faraid dengan segera.

Oleh demikian, puan boleh menuntut wang simpanan itu daripada mentua bagi kepentingan puan dan anak.

Begitu pun, puan dinasihatkan supaya cuba berunding dengan keluarga arwah suami terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang. Hal ini kerana tindakan itu mungkin mengeruhkan perhubungan puan dan anak dengan keluarga arwah suami.

Puan perlu akui hakikat bahawa anak masih mempunyai pertalian darah dengan keluarga arwah suami. Pertalian ini sama sekali tidak boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Mungkin juga bapa mentua tidak faham konsep penamaan dalam caruman KWSP dan menyangka bahawa ia menjadi miliknya.

Puan bolehlah menjelaskan kepada beliau secara baik kedudukan undang-undang sebenarnya. Jika perlu, puan boleh meminta beliau merujuk kepada orang yang lebih tahu mengenai perkara itu seperti peguam dan pegawai KWSP.

Jalan penyelesaian secara perundingan adalah paling sesuai dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jika boleh janganlah diputuskan hubungan kekeluargaan itu walaupun selepas ketiadaan suami puan.

Puan perlu bijak menangani isu ini, terutama apabila ia membabitkan wang ringgit dan pertalian persaudaraan. Bertolak ansur dan saling faham memahami antara satu sama lain penting bagi menyelesaikan permasalahan sebegini.

Jika segala usaha perundingan buntu, barulah puan mengambil tindakan undang-undang. Jika mengambil jalan ini, puan perlu bersedia mengharungi liku-liku hidup selepas itu termasuk berulang-alik ke mahkamah dalam mempertahankan hak puan dan anak.

Walaupun sudah mengambil tindakan ini, harus ingat dalam keadaan mana keluarga arwah suami melayan puan, mereka tetap mempunyai pertalian kekeluargaan dengan anak puan. Janganlah diputuskan hubungan ini. Insya-Allah, Allah akan memberkati kehidupan puan dan anak.





Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM),

Zainul Rijal Abu Bakar