Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Showing posts with label Jendela Hikmah. Show all posts
Showing posts with label Jendela Hikmah. Show all posts

Wednesday, July 30, 2008

Salam Israk Mikraj

Nabi sedih ramai wanita penghuni neraka

Oleh Masmawi Abdullah

Rasulullah ceritakan pengalaman saksi balasan dahsyat ketika israk mikraj

SAIDINA Ali berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah SAW. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?"

Baginda SAW menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."


Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah SAW menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair di-curah ke dalam halkumnya (tekak).

"Aku lihat perempuan yang digantung kedua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri.

"Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

"Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar berbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka."

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"

Rasulullah menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

"Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa suaminya. Perempuan kedua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

"Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid nan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

"Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

"Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

"Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya."

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah."

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, ku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan."

Rasulullah SAW ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari)

Tuesday, July 15, 2008

Saintis akui cara tidur Nabi Muhammad baik untuk kesihatan

Oleh Mohd Roslan Md Isa

ORANG dewasa memerlukan masa tidur selama enam hingga lapan jam sehari. Bagi kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Lain pula bagi golongan veteran yang mencapai usia emas, pola tidur mereka adalah antara empat hingga lima jam sehari.

Amalan tidur membantu untuk memberi keselesaan. Sebelum tidur pastikan diri dalam keadaan bersih dan disarankan mengambil wuduk supaya diri berasa semangat mahu tidur dan keadaan yang bersih disukai Allah.

Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat. Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung. Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada bahaya serta kekotoran.

“Nabi melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas beliau berkata: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jauhkan diri daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan wajah jadi kusam, keruh, lembap dan mengurangkan rezeki.

Ibn Qaiyim merumuskan bahawa Nabi SAW tidak tidur dalam kekenyangan. Beliau berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur.

Nabi Muhammad SAW suka tidur mengiring ke sebelah kanan. Baginda SAW tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Ucapan memuji Allah sering diucap pada bibir.

Saintis juga mengakui kedudukan tidur Nabi Muhammad SAW itu adalah model terbaik. Ia mampu memberi kesan kepada kesihatan badan. Tidur cara Nabi Muhammad SAW mampu merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher.

Pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan semasa tidur, iaitu mengiring dengan meluruskan tulang belakang atau menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokkan tulang leher.

Anak Rasulullah SAW, Fatimah pernah menemui ayahandanya untuk meminta tawanan perang sebagai pembantu rumah kerana penat melakukan tugasan rumah tangga, tetapi tidak dipenuhi Baginda.

Sebaliknya, Baginda SAW mengajarkan mereka cara lebih baik daripada itu, iaitu mengamalkan zikir pada waktu hendak tidur dengan membaca pujian bagi Allah (subhanallah sebanyak 33 kali) diikuti Alhamdulillah dan Allahuakbar.

Itu adalah cara tidur sebaiknya diamalkan sambil berzikir memohon kebaikan serta kesejahteraan daripada Allah. Cara lain ialah membaca surah digalakkan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, tiga ‘Kul’ dan doa sebelum tidur bagi mengelak gangguan.

Thursday, July 10, 2008

Ibu bapa kena terus terang dengan anak

Elak menipu jika tidak tahu jawab soalan

Kebenaran

Apa yang diberitahu kepada anak mestilah perkara yang benar. Ibu bapa jangan menipu anak. Jika ibu bapa tidak tahu jawapan kepada persoalan yang diajukan anak, beritahu mereka bahawa kita tidak tahu dan mengajak mereka mencari jawapannya. Jika ada perkara yang mungkin sukar bagi kita menjawab sendiri oleh sebab-sebab tertentu, minta bantuan daripada orang lain dan beritahu anak perkara sebenar.

Bercakap terus terang dan tepat

Apabila kita bercakap dengan anak, kita mesti menggunakan bahasa yang senang dan cakap terus terang serta tidak berbelit-belit. Kadangkala kita terpaksa memberikan satu-satu jawapan kerana tidak ada masa memikirkannya dan terpaksa membuat satu keputusan yang mengelirukan. Contohnya, anak meminta kebenaran bermain di luar tetapi hari panas, kita terus menjawab , "tidak boleh nanti dikejar anjing". Sepatutnya kita beritahu terus bahawa "tidak boleh hari panas" dan beritahu bahawa nanti akan menyebabkan mereka (anak) sakit.

Sentiasa konsisten dan tepat

Apa saja yang kita terangkan kepada anak-anak atau mengajar mereka, mestilah dilakukan dengan konsisten dan tepat. Pembaharuan boleh diterima oleh anak-anak tetapi jangan membuat pembaharuan tanpa sebab yang munasabah atau tidak jelas.

Rangsangan

Keupayaan adalah asas membina semangat kepada anak-anak manakala kegagalan asas lemah dan boleh mematahkan semangat

Harapan

Wujudkan perasaan positif dan tanamkan perasaan harapan yang tinggi dan jangan berputus harapan kepada anak-anak.

Berulang-kali

Anak-anak suka sesuatu yang berulang-ulang. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-kali, maka lebih kuatlah pembentukan rangkaian di dalam otak mereka. Namun, elakkan perkara berulang atau pengalaman negatif terhadap anak-anak.

Jangkaan

Ajar anak supaya boleh membuat penentuan atau ramalan atas sesuatu yang terjadi atau apa yang bakal berlaku. Jika membuat sesuatu dengan anak berhenti sebelum anak masih minat dan seronok.

Disiplin/ Undang-undang

Anak tidak boleh dipukul, dicubit atau ditengking. Cara kita mendisiplinkan mereka mestilah diasaskan kepada: maruah yang tinggi, ilmu dan kefahamannya, wujudkan peraturan, terang dan tunjukkan cara, buat sebagai amalan dan menjadi contoh teladan

Kegembiraan

Dilakukan dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Perasaan gembira boleh mewujudkan keselesaan diri yang menyebabkan anak sentiasa riang. Perkataan yang digunakan, lagu-lagu pantun mestilah mewujudkan perasaan gembira. Elakkan perasaan sedih, sayu, pilu merendahkan anak, menghina manusia dan perkara negatif lain. Berikan anak-anak ilmu yang banyak, menjaga diri dan membina kemampuan melakukan banyak perkara yang berguna.

Kecewa

Anak perlu mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Kehilangan barang yang disayanginya, perpisahan ibu bapa, kematian dan sebagainya adalah kekecewaan yang akan dihadapi anak-anak. Semuanya mesti dijelaskan kepada anak secara benar dan bantulah anak mengatasi kekecewaan itu.

Teladan

Teladan daripada ibu bapa dan orang lain dalam hidupnya adalah pengajaran yang paling efektif. Teladan yang baik akan meningkatkan ciri yang baik. Teladan yang buruk merosakkan amalan hidup dan kewibawaan anak.

Konsep Downshifting (merendah-rendahkan atau menurunkan semangat anak)

Jangan pukul, cubit dan menghina anak. Elakkan mencari salah, membeza-bezakan anak-anak, menyebut jangan, tidak boleh tanpa sebab dan keterangan dan jangan menggunakan amaran yang marah tanpa sebab serta keterangan kukuh.

Konsep Expansion vs Replacement (Pengembangan lawan Pengambilalihan)

Membina keyakinan diri, maruah dan jati diri

Sumber: Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr Noor Laily Abu Bakar, Bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-kanak anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim).

Friday, July 4, 2008

Tiada ibadat khusus sempena Rejab

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Pendapat mengenai amalan solat sunat puasa, umrah bersandar kepada hadis lemah

REJAB bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa juga bentuk peperangan.

Kalendar Islam yang mempunyai 12 bulan ada empat bulan dimuliakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa." - (Surah at-Taubah, ayat 36)

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran "maka janganlah kamu menganiaya diri kamu" dalam ayat itu bermaksud jangan seseorang menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman Allah hanya menunjukkan ada empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi SAW memperincikan nama bulan itu: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Rejab termasuk dalam bulan dimuliakan Allah. Lantaran itu tersebar dalam masyarakat kita amalan memiliki fadilat yang besar dikhaskan sempena Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil sah menunjukkan amal ibadah tertentu bersempena Rejab.

Hal ini diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis sahih mengenai keutamaan Rejab (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

Adalah masyhur di kalangan masyarakat disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, 15 Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Selain daripada itu, ada juga yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Imam Ibnul Qayyim berkata: "Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan itu secara terus menerus seperti dilakukan sebahagian orang dan Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan Baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti diriwayatkan Ibnu Majah."

Walaupun begitu jika seseorang itu berpuasa pada Rejab tanpa niat mengagungkan bulan berkenaan tetapi berpuasa bertepatan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis atau puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan syarak.

Ada juga pandangan bahawa pada Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu, menurut 'Aisyah, Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada Rejab.

Daripada Mujahid dia berkata: "Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata 'Abdullah bin 'Umar sedang duduk di samping bilik Saidatina 'Aisyah. Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah SAW melakukan umrah? Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah SAW melakukan umrah. Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya. Dia (Mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu 'Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada 'Aisyah: Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu 'Abdurrahman? 'Aisyah berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan umrah pada Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu 'Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni 'Aisyah) ikut bersama Baginda dan Baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Tarikh 27 Rejab dikaitkan dengan Israk dan Mikraj dan pelbagai program diatur bagi mengingati peristiwa bersejarah itu. Ia adalah usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam supaya mengambil pengajaran daripadanya.

Namun, wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj seperti dijelaskan Ibu Hajar al-'Asqalani: Ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum Baginda SAW dilantik menjadi nabi. Pendapat ini ganjil kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat selepas Baginda SAW menjadi nabi.

Selanjutnya dalam kitab itu Ibnu Hajar menyebutkan pendapat ulama seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan: "Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ulama hadis ialah satu pembohongan.

Ibn Rajab al-Hanbali pula berkata: "Diriwayatkan bahawa pada Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW lahir pada awal malam Rejab, diangkat menjadi Nabi pada 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih."

Kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat mengenai tarikh peristiwa Israk dan Mikraj supaya peristiwa itu diketahui secara jelas dan pada masa sama, tiada ibadat khusus atau sambutan tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa bersempena tarikh berkenaan.

Ada golongan yang lebih ekstrim beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Jika ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti bila sebenarnya ia berlaku seperti amalan sunnah lain iaitu puasa 'Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharam dan beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.

Ia memperlihatkan tidak ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Jika memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama melaksanakannya adalah Rasulullah SAW serta sahabat.

Tiada amalan khusus untuk Rejab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang dijumpai dalam hadis sahih. Jika ada pendapat yang meriwayatkan mengenai amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab, ia bersandar kepada hadis lemah.

Banyak lagi amalan sunat yang umum belum kita amalkan boleh dipraktikkan pada Rejab sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadan dengan membanyakkan solat malam, puasa sunat Isnin dan Khamis serta tadarus al-Quran.

Saturday, June 28, 2008

Mengingati kiamat bangkit keinsafan

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

AL-QURAN adalah kitab dan mukjizat paling indah. Keindahannya bukan sekadar untuk diperdengarkan bacaannya tetapi diambil perhatian mengenai peringatan dan ancaman yang dijelaskan dalam ayatnya sebagai menambahkan ketaatan manusia kepada Allah pencipta semesta alam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila matahari digulung dan bintang berjatuhan dan apabila gunung dihancurkan dan unta yang bunting ditinggalkan tidak dipedulikan dan apabila binatang liar dikumpulkan dan lautan dijadikan meluap dan apabila roh dipertemukan dengan tubuh, bayi perempuan dikuburkan hidup-hidup ditanya kerana dosa apakah ia dibunuh, dan apabila catatan amal perbuatan manusia dibuka dan langit dilenyapkan dan apabila api neraka jahim dinyalakan dan syurga didekatkan, maka setiap jiwa akan mengetahui apa yang sudah dikerjakannya, sesungguhnya Aku bersumpah dengan bintang yang beredar dan terbenam demi malam apabila sudah hampir meninggalkan gelap dan demi subuh apabila fajarnya mula menyingsing, sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman Allah yang dibawa oleh utusan mulia yang mempunyai kekuatan, kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai arsy ditaati lagi dipercayai." (Surah at-Takwir, ayat 1-21)

Rasa takut dan cemas terbayang menekan kita. Ketakutan meliputi seluruh alam dan mencemaskan jiwa serta menggoncang dada. Malah, ketakutan mencengkam seluruh bumi dan langit yang digerakkan lagi oleh ketakutan dan digentarkan pula oleh firman-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila terjadi hari khiamat, tidak seorang pun dapat berdusta mengenai kejadiannya. Kejadian itu merendahkan satu golongan dan meninggikan golongan yang lain. Apabila bumi digoncang sedasyatnya dan gunung dihancur luluhkan sehancurnya, maka jadilah debu yang berterbangan." (Sural al-Waqiah, ayat 1-6)

Pada saat lain, ketakutan itu terlintas dalam bayangan dan bergoncang perasaan. Semua itu sebagai peringatan kepada kita untuk menambah ketaatan dan ketakwaan.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang besar dan dasyat. Ingatlah pada hari ketika kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya. Dan gugurlah kandungan semua wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya." (Surah al-Hajj, ayat 1-2)

Demikian gambaran demi gambaran yang ditampilkan Allah mengenai pemandangan hari kiamat. Sesekali perasaan takut merasuk ke jiwa dan pada saat lain berasakan kemantapan dan ketenangan.

Sesekali terbayang api neraka yang membakar dan sesekali pula hembusan sejuk angin syurga menerpa, lantaran itu pengenalan terhadap alam akhirat menjadi penting dan sempurna sebelum hari yang dijanjikan itu tiba.

Firman Allah yang bermaksud: "Hari kiamat; apakah hari kiamat itu? Tahukah kamu, apakah hari kiamat itu? Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihamburkan." (Surah al-Qariah, ayat 1-5)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, ibu bapanya, isteri dan anaknya setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan."

Demikian paparan yang diungkapkan al-Quran mengenai peristiwa yang mengerikan. Ungkapan pemandangan kiamat tentu meresap, membangkit kesedaran dan keinsafan. Betapa hari kiamat senantiasa menjadi perhitungan dalam hidup. Ia begitu lekat dalam hati dan lisan. Lantas kita pun bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan dan ketaatan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Allah akan melipat petala langit di hari kiamat lalu menggenggam dengan tangan kanan-Nya seraya berkata; Aku Raja segala raja! Di manakah orang yang membesarkan diri? Di manakah orang yang menyombong diri? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya seraya berkata: Akulah Raja segala Raja! Di manakah orang yang menyombong diri?"

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan kamu tidak akan mencapai setinggi gunung." (Surah al-Isra', ayat 37)

Kesombongan itu menggelapkan jalan ke syurga, merosak pergaulan, merenggang pertalian, memecah perpaduan. Al-Quran sebagai mukjizat dan penawar selayaknya ditampilkan sebagai panduan, peringatan bukan sekadar bacaan dan nyanyian malah sebagai penyatuan serta keinsafan.

Justeru, al-Quran sebagai mukjizat dan penawar bukan saja untuk dihayati keindahannya, malah memberi petunjuk untuk membina ketaatan, menjadi orang beriman yang membela kebenaran, memelihara diri daripada dosa dan kemurkaan.

Mengingati hari akhirat memberi kesedaran dan keinsafan bahawa penghujung jalan terbentang suatu lagi perjalanan yang masih panjang.

Friday, June 27, 2008

Sabar hadapi ujian dijanjikan syurga


Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kesenangan, musibah sebagai cubaan untuk menilai kekuatan iman umat Islam

SESEORANG yang ingin mengenalpasti sesuatu perkara atau benda, sama ada asli atau palsu, maka wajarlah terlebih dulu mengujinya dengan kaedah tertentu. Begitulah keadaannya keimanan yang terselit di dada seseorang, perlu sekali melalui proses ujian atau cubaan Allah untuk menilai sama ada teguh atau rapuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah." (Hadis riwayat Thobrani)

Allah berfirman yang bermaksud: "Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?" (Surah al-Ankabut, ayat 2)


Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah yakin bahawa segala kesusahan atau pun kesenangan yang Allah berikan semuanya adalah ujian terhadap hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan aku jadikan bagi kamu sekalian keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan kepada Aku-lah kamu akan dikembalikan." (Surah al-Anbia', ayat 35)

Kita percaya masih ada segelintir di kalangan masyarakat Islam yang beranggapan seperti memiliki harta kekayaan yang banyak, rezeki melimpah ruah, berpangkat tinggi dan sebagainya adalah satu petanda Allah sayangkannya.

Anggapan mereka sebenarnya meleset sama sekali. Mereka belum cukup faham atau masih keliru mengenai konsep ujian Allah. Apa yang mereka miliki itu sesungguhnya adalah ujian untuk menilai sama ada ia tergolong dalam golongan orang bersyukur atau kufur.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar." (Surah al-Anfal, ayat 28)

Umat Islam tatkala menerima kebaikan dari Allah pasti akan melahirkan rasa kesyukuran, seperti Nabi Sulaiman ketika menerima penyerahan singgahsana kerajaan Saba' dari puteri Balqis, lalu Baginda mengucapkan: "Inilah sebahagian dari kurnia Tuhanku, sebagai ujian-Nya kepadaku, apakah aku bersyukur atau bersikap kufur.' (Surah An-Naml, ayat 40)

Selain itu, Allah juga menguji manusia dalam bentuk kesusahan seperti sakit, miskin, gagal mencapai matlamat, kerugian dalam perniagaan, kebakaran dan lain-lain.

Allah memaparkan beberapa contoh ujian Allah dalam bentuk kesusahan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan memberikan sesuatu percubaan kepada kamu, seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan..." (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Berpandukan ayat itu dapat dirumuskan bentuk ujian Allah iaitu ketakutan untuk menghadapi musuh Islam dan menghadapi hari mendatang.

Kelaparan, kerana ketiadaan makanan atau mungkin juga tidak mampu untuk mendapatkan makanan akibat harganya terlalu mahal, tanam-tanaman tidak menjadi disebabkan musim kemarau atau bencana alam lain.

Kekurangan harta disebabkan ditimpa musibah seperti kebakaran, banjir besar dan taufan yang dahsyat serta hilang orang kesayangan disebabkan peperangan, bencana alam, serangan wabak penyakit dan kemalangan jalan raya.

Ternyata suasana yang sedang berlaku dalam negara kita sekarang adalah satu ujian Allah. Namun hakikat yang pahit ini, masih ramai yang tidak sanggup untuk menelannya. Jika kefahaman kita sudah mendalam mengenai konsep cubaan Allah, dan memiliki iman yang utuh, sudah tentu hal ini dapat dihadapi dengan lapang dada, fikiran waras dan emosi terkawal.

Peranan kesabaran seseorang sangat penting dalam menghadapi situasi buruk yang memang tidak disukai ini. Sama-sama berbincang mencari jalan bagaimana untuk berdepan dengan keadaan ini seterusnya cara mengatasinya.

Jika masing-masing saling menuding jari, maka masalah tidak akan selesai, bahkan akan menambahkan lagi kekusutan yang ada. Akhirnya boleh menimbulkan persengketaan dan perpecahan dalam masyarakat yang tidak ada titik kesudahan.

Islam sudah menunjukkan jalan terbaik bagi menghadapi ujian Allah seperti bersabar seperti pesan junjungan besar Nabi SAW yang sewajarnya diikuti dan diamalkan oleh setiap orang beriman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)

Di samping itu orang Islam juga harus bertawakal kepada Allah tatkala menghadapi ujian Allah. Bertawakal bermakna berusaha dengan segala upaya untuk mengatasinya kemudian menyerahkannya kepada Allah yang menentukan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sepenuhnya urusanku ini, kuserah pasrahkan bulat-bulat kepada Allah, sebab Ia Maha memperhatikan semua urusan hamba-Nya." (Surah al-Mukmin, ayat 44)

Cubaan yang dihadapi Nabi Ya'kub kerana kehilangan Nabi Yusuf atas perbuatan busuk saudaranya, baginda bertawakal kepada Allah dengan penuh kehambaan sebagaimana tergambar dalam sepotong ayat yang bermaksud: "Ia berkata: Hanya kepada Allah kesusahan, keresahan dan keperihanku ini aku adukan." (Surah Yusuf, ayat 86)

Setiap orang Islam hendaklah sentiasa berikhtiar dengan penuh hikmah, mengikut syariat Islam, untuk mengatasi ujian yang menimpa dan supaya tidak berulang lagi pada masa depan. Elakkan daripada perasaan sedih, mengeluh, putus asa atau kecewa ketika berdepan dengan ujian Allah, sehingga sanggup menyalahkan takdir.

Seharusnya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah, itulah penolong yang sejati seperti firman-Nya yang bermaksud: "Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Kita juga perlu insaf bahawa apapun ujian atau cubaan, semuanya menunjukkan bahawa Allah memelihara hamba-Nya supaya ingat selalu kepada-Nya. Seterusnya bagi orang kuat imannya, ia sangat berbahagia apabila berdepan dengan cubaan Allah kerana itu satu cara Allah menghapuskan dosa seseorang itu, jika dihadapinya ujian dengan kesabaran tinggi dan penuh keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Beginilah Allah memilih hamba-Nya untuk menghuni syurga-Nya di akhirat nanti, dengan memberi ujian sama ada kecil atau besar. Hanya orang yang kuat imannya saja yang layak mendapat kesejahteraan yang abadi.

Firman Allah yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Apabila seseorang sanggup menghadapi ujian Allah dengan tabah, sudah tentu imannya bertambah kuat dan mantap, sering bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan demi mencapai insan dikasihi Allah.

Friday, June 6, 2008

Tujuh petunjuk kebahagiaan dunia

Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia. Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu:

  • Hati yang selalu bersyukur - Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan.

    Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah.

    Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi."

  • Pasangan hidup yang salih - Pasangan hidup yang salih akan menciptakan suasana rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredaan Allah.

    Demikian pula seorang isteri yang salih, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki isteri salih.

  • Anak yang salih - Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu, kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu."

  • Lingkungan kondusif untuk iman kita - Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif ialah suasana keliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang salih yang mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah.

    Orang salih adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari orang di sekitarnya.

  • Harta yang halal - Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan."

    Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya.

  • Semangat untuk memahami agama - Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.

  • Umur yang berkat - Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin salih, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia mengenai masa mudanya.

    Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah.


Monday, June 2, 2008

Iran gesa umat Islam 'padamkan' Israel

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki semalam menggesa penduduk Islam seluruh dunia berusaha 'memadamkan' Israel dalam serangan lisan terbaru oleh Teheran terhadap negara Yahudi berkenaan.


"Seperti kata Imam Khomeini, jika setiap penduduk Islam mencurahkan sebaldi air terhadap Israel, Israel akan tenggelam," kata Mottaki pada satu sidang media di Teheran sambil mengingati semula kata-kata yang pernah dikeluarkan pemimpin revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Presiden Mahmoud Ahmadinejad sebelum ini mencetuskan kemarahan antarabangsa kerana mengulangi serangan beliau terhadap Israel apabila beliau meramalkan negara itu akan musnah dan menyifatkannya sebagai 'mayat berbau' dan seekor 'bangkai tikus'.

Serangan beliau paling diingati ialah pada 2005 apabila beliau juga mengulangi kata-kata Khomeini yang menggesa supaya Israel dihapuskan dari peta.

Mottaki berkata: "Lebih daripada itu regim Zionis akan hancur dari dalam. Hari ini tentangan Islam di wilayah ini menghancurkan legenda regim secara senyap."

Walaupun Ahmadinejad dan komander tentera tertinggi sering meramalkan kemusnahan Israel, serangan seumpama itu daripada kementerian luar adalah sesuatu yang luar biasa.

Iran yang menafikan dakwaan bahawa ia anti-Semitik, sambil menjelaskan Iran mempunyai penduduk Yahudi terbesar di Asia Barat di luar Israel, berkata mereka hanya menentang Zionis.

Ketegangan di antara Iran dan Israel terus meningkat sejak beberapa tahun lalu berikutan usaha nuklear Iran.

Israel satu-satunya kuasa senjata atom di Asia Barat mendakwa Iran cuba membuat senjata nuklear. - AFP

Thursday, May 29, 2008

Bersama Diplomat: Palestin ajak dunia 'lebur' ego Yahudi

Oleh Abdelaziz Abughoush

Penduduk Gaza harap sokongan, bantuan elak tragedi kemanusiaan lebih buruk

ENAM puluh tahun sudah berlalu sejak peristiwa Al-Nakba melanda rakyat Palestin pada 1948, yang mengakibatkan mereka menjadi rakyat tanpa negara, dihalau dari tanah air sendiri dan hidup dalam suasana 'perang' yang belum lagi diketahui bila akan berakhir.

Hingga hari ini, lebih separuh daripada rakyat Palestin terus hidup di kem pelarian di seluruh rantau Asia Barat dan ramai yang menumpang kasih di negara orang.

Kewujudan mereka begitu rapuh dan bersifat sementara. Generasi demi generasi terus menunggu untuk mendapatkan hak untuk kembali semula ke tanah air mereka � hak yang perlu diserahkan semula kepada seluruh pelarian antarabangsa.


Mereka masih sabar menunggu keadilan untuk memihak kepada mereka, pada masa sama terus melalui masa yang sukar dan penuh derita dengan penuh kesabaran.

Lebih 40 tahun, berjuta-juta rakyat Palestin menjadi pelarian dan hidup menderita di bawah penjajahan tentera Israel. Hak mereka untuk hidup sebagai manusia bertamadun, terus dinafi dan dicabuli, apa lagi hak bagi menentukan kehidupan sendiri.

Tahun demi tahun berlalu, penderitaan pelarian Palestin terus berlarutan dan situasi semakin buruk apabila semakin banyak krisis dan tragedi berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama di Semenanjung Gaza dan kem Nahr el-Bared di utara Lebanon.

Keadaan di kem pelarian di dalam kawasan yang diduduki, terutama Gaza, amat menyedihkan. Mereka hidup dalam suasana amat daif, tidak selamat, tidak stabil dan mengalami trauma demi trauma berikutan tindakan ganas Israel yang langsung tidak menghiraukan kritikan dunia.

Keadaan semakin membebankan dalam 10 tahun terakhir ini, apabila Israel tanpa menghiraukan kutukan dunia mengawal pergerakan seluruh rakyat Palestin yang berada dalam wilayah yang diduduki mereka, termasuk mereka yang sakit dan memerlukan rawatan di luar Gaza.

Lebih menyayatkan hati, golongan Yahudi turut mengawal dan menyekat pergerakan kemasukan barang ke wilayah ini, termasuk makanan, ubat-ubatan, bahan binaan, minyak dan keperluan asas lain.

Hukuman secara kolektif yang dikenakan ke atas rakyat Palestin ini mencabuli Konvensyen Geneva Keempat, di samping pelbagai peruntukan undang-undang hak asasi manusia.

Ia memberi kesan serius ke atas seluruh aspek kehidupan rakyat � kadar pengangguran yang tinggi, kemiskinan, kebuluran, penyakit, anak tidak mampu ke sekolah, keselamatan yang sentiasa diancam � yang sudah pasti menyemarakkan perasaan marah, benci, kecewa dan suasana tegang di kalangan rakyat Palestin pada setiap masa.

Situasi yang tidak boleh diterima dalam suasana dunia hari ini, membuatkan kami berharap masyarakat dunia memberi tekanan lebih serius bagi menangani krisis yang semakin buruk.

Israel mesti dikenakan tekanan bagi menghormati undang-undang antarabangsa dan dipaksa menarik balik kepungan yang dikenakan ke atas Gaza.

Mereka juga perlu membuka semula semua sempadan yang selama ini menyekat pergerakan rakyat Palestin serta kemasukan barang keperluan, terutama makanan dan bantuan perubatan yang amat diperlukan rakyat kami.

Ini adalah tanggungjawab moral, undang-undang, politik dan kemanusiaan, yang perlu digerakkan secepat mungkin jika kita ingin mengelak daripada berlaku tragedi kemanusiaan lebih buruk di Semenanjung Gaza.

Keadaan di wilayah diduduki Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur, pada ketika ini amat suram. Perkembangan yang diharap dapat dilihat dalam proses damai baru dilancarkan semula terus samar, sebaliknya semakin banyak cabaran muncul.

Israel terus melakukan kempen penjajahan secara haramnya melalui pembinaan penempatan haram, tembok yang semakin mengepung rakyat Palestin dan mengenakan pusat pemeriksaan yang amat mengaibkan di seluruh wilayah diduduki Palestin.

Ketika ini, sebanyak 161 penempatan penuh Israel dibina dan sekurang-kurangnya 96 kem kawalan haram dibina di dalam wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Selatan.

Semua penempatan ini diduduki lebih 450,000 rakyat Palestin � majoriti mereka lengkap memiliki senjata api. Perlu ditegaskan di sini bahawa semua tindakan Israel ini adalah bertentangan dengan inisiatif pelan damai dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, rakyat Palestin amat mengharapkan sokongan dan bantuan masyarakat antarabangsa untuk membela mereka. PBB mempunyai tanggungjawab tetap untuk meleraikan konflik yang sudah tidak tertanggung rakyat Palestin.

Saya yakin, konflik Palestin hari ini tidak boleh dileraikan dengan senjata api, sebaliknya ia hanya boleh ditamatkan dengan penyelesaian politik. Sudah terlalu banyak inisiatif ke arah perdamaian diambil � resolusi PBB, Inisiatif Damai Arab, Pelan Damai Palestin-Israel dan Pelan Damai Madrid � namun belum ada satu pun dapat mengatasi sikap angkuh Israel yang terus menyeksa rakyat Palestin.

Justeru, saya melihat satu-satunya cara paling praktikal untuk memaksa Israel bertanggungjawab atas tindakannya ke atas Palestin selama ini ialah masyarakat antarabangsa mesti menggunakan undang-undang antarabangsa dan Resolusi PBB.

Hanya dengan cara itu, masyarakat antarabangsa boleh menamatkan keganasan Israel dan memaksa ia mematuhi undang-undang antarabangsa dikenakan ke atasnya.

Dalam perjalanan kehidupan yang penuh derita selama berdekad-dekad dan kehilangan yang tidak lagi mampu diucap dengan perkataan, rakyat Palestin amat berharap masyarakat antarabangsa dapat menggandakan usaha untuk merealisasikan impian mereka memiliki sebuah negara Palestin merdeka, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Dalam penderitaan yang kelihatan seperti tidak berpenghujung ini juga rakyat Palestin berdoa negara dunia akan sama-sama mengembalikan hak mereka sebagai manusia bertamadun.

Walaupun impian itu masih belum dicapai, bagi pihak rakyat Palestin, saya mengucap terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang amat prihatin dan tidak henti-henti memberi sokongan kepada perjuangan kami yang masih belum tahu di mana hujungnya.

Penulis ialah Duta Palestin ke Malaysia

FAKTA:

  • Al-Nakba bermakna tragedi, bencana atau darurat yang merujuk kepada perjuangan rakyat Arab Palestin. Rakyat Palestin memperingati 15 Mei, 1948, sebagai Al-Nakba kerana ia tarikh Israel wujud sebagai sebuah negara di bumi Palestin.

  • Al-Nakba juga adalah tarikh di mana Palestin menjadi negara pelarian bagi rakyatnya sendiri. Lebih 750,000 rakyat Palestin dihalau dari rumah sendiri dan dipaksa tinggal di kem pelarian. Ramai yang gagal melarikan diri dijadikan korban dalam siri pembunuhan beramai-ramai.

  • Al-Nakba akan terus tersemat di dalam minda rakyat Palestin kerana ia adalah tarikh kebebasan mereka dirampas dan perjuangan untuk mendapatkan semula hak mereka berterusan hingga kini.

  • Perangkaan dikeluar PBB mencatat 711,000 pelarian Palestin berada di luar wilayah Israel, 160,000 lagi masih berada dalam Israel sebagai 'pelarian dalaman'. Hari ini, jumlah pelarian Palestin dan pewaris mereka kini berjumlah lebih empat juta orang.
  • Saturday, April 12, 2008

    Rugi insan mensia-sia peluang hidup tanpa taubat


    SETIAP kali selepas menunaikan solat lima waktu, kita selalunya akan berdoa kepada Allah untuk dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki lalu diberikan pula petunjuk serta hidayah semoga kita tergolong sebagai hamba soleh di samping terhindar daripada azab api neraka.

    Umur yang panjang bukan sekadar memberi kesempatan buat kita menikmati kehidupan dunia yang penuh dengan rahmat Allah, juga untuk menilai sejauh mana kita sudah melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.

    Berjayakah kita menunaikan semua tugas atau hanyut dalam kemungkaran dosa sedangkan dalam menikmati kehidupan kita turut diingatkan supaya sentiasa mengingati mati, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan.

    Firman Allah yang bermaksud: "Berusahalah mencari keredaan serta rahmatku seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, dalam pada itu beramallah pula dengan segala kebajikan dan ibadat seolah-olah engkau akan mati pada esok hari."

    Memang tidak menarik untuk kita bercakap mengenai mati kerana ada beranggapan kematian adalah suatu garis pemisah yang melenyapkan segala peluang serta harapan untuk terus menikmati keindahan dan kenikmatan hidup dunia.

    Sedangkan, mereka tidak mahu mengerti sesungguhnya ada sebuah keindahan serta kenikmatan lain yang menunggu pada alam akhirat jika kita sebenarnya termasuk dalam golongan Muslimin yang bertakwa.

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya janganlah ada di antara kamu yang berlaku tamak dan haloba akan segala sesuatu yang ada di dunia, sebab ketahuilah olehmu bahawa jika dibandingkan dengan kenikmatan yang ada di syurga, maka dunia ini adalah tidak lebih daripada seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing."

    Allah memperingatkan dalam firman yang bermaksud: "Walau di mana juga kamu berada, hatta jika bersembunyi di dalam bilik yang kukuh pun namun mati akan tetap juga menemui kamu." (Surah An-Nisa', ayat 78)

    Diriwayatkan oleh Ibnul Umar: "Pada suatu hari aku datang menemui Rasulullah SAW yang ketika itu Baginda berada di tengah sahabatnya yang terkemuka, tiba-tiba terdengar olehku salah seorang daripada mereka bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah agaknya manusia paling cerdas dan pintar otaknya? Maka dijawab Nabi Muhammad SAW: Adapun orang yang cerdas dan pintar di antara kamu ialah mereka paling banyak mengingati mati lalu membuat persediaan menuju kepadanya."

    Apabila kita memohon kepada Allah supaya dipanjangkan umur, sewajarnya kurniaan itu dimanfaatkan untuk memperbanyakkan amal ibadat serta membuat kebaikan di dunia sebagai bekalan pada akhirat nanti.

    Menjadi rugi kepada mereka yang diberi peluang hidup tetapi mensia-siakan masa dengan perkara dilarang kerana masa yang berlalu tidak akan kembali apatah lagi jika tidak sempat bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Adapun sebaik-baik manusia menurut pandangan Islam ialah mereka panjang umur serta baik perbuatan dan amalannya, manakala sejahat-jahat umatku ialah orang yang lanjut usia tetapi kekal dalam amalan mungkar."

    Firman Allah yang bermaksud: "Pada hari mereka akan mati, padahal selama ini ia tidak mengerjakan solat bahkan sering pula berdusta serta berpaling maka akan bertanya Allah kepada mereka: Siapakah akan dapat menyembuhkan kesakitan itu? Lalu tidaklah mereka mendapat apa-apa selain daripada kepayahan pedih yang berbelit serta celaka."

    Beberapa keterangan mengenai kematian yang patut kita renungkan ialah kata-kata Khalifah Umar al-Khattab kepada Kaab al-Akbar: "Bahawa ada kalanya kematian bagi sesetengah orang akan sama seperti suatu ranting kayu berduri bila berada di dalam kerongkong, kemudian ia ditarik dengan keras oleh seorang lelaki perkasa, maka akan tercabutlah mana-mana yang tercabut dan akan tertinggallah mana-mana yang tertinggal."

    Suatu hari seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai kematian paling mudah, maka Nabi menjawab: "Seringan-ringan mati adalah seperti duri melekat pada lembaran kain, bila ia dicabut maka pasti sedikit daripada benangnya akan terbawa sama."

    Pada hari akhirat nanti kita akan dibangkitkan kembali untuk menghadapi hisab serta pengadilan, di mana pada hari itu semua makhluk sama saja di sisi Allah, serta tidak ada suatu apapun yang boleh membantu, selain amalan kita.

    Allah berfirman yang bermaksud: "Hendaklah sentiasa kamu ingat bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia ini sebenarnya tidak lain melainkan adalah permainan, kelalaian dan perhiasan bermegah-megah di antara kamu, serta perburuan tipu daya, membanyakkan harta serta anak pinak, seumpama rumput tumbuh subur sesudah hujan menghairankan petani, lalu selepas itu lantas engkau lihat ia kuning menjadi punah dan binasa."
    (Surah Al-Hadid, ayat 20)

    Friday, April 11, 2008

    Doa mampu kurangkan beban dosa sesama insan

    Melakukan dosa sesama manusia

    · Manusia wajib bertaubat daripada dosa dengan Allah dan sesama manusia.

    · Jika dosa berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya.

    · Jika membabitkan harta seperti mencuri, pecah amanah dan sebagainya wajib dikembalikan setiap sen yang dicuri kecuali dihalalkan.

    · Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi atau dianiaya, wajib membuat pengakuan terbuka untuk membersihkan nama mangsa.

    · Islam memperuntukkan qisas dan takzir bagi kesalahan jenayah.

    · Jika tidak sedar dosa dilakukan, maka dituntut memohon maaf dan memaafkan orang lain.

    · Mohon maaf kepada Allah jika tidak berjumpa dengan orang yang kita lakukan dosa. Cari waris untuk mengembalikan harta jika membabitkan jenayah harta.