Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad
AL-QURAN adalah kitab dan mukjizat paling indah. Keindahannya bukan sekadar untuk diperdengarkan bacaannya tetapi diambil perhatian mengenai peringatan dan ancaman yang dijelaskan dalam ayatnya sebagai menambahkan ketaatan manusia kepada Allah pencipta semesta alam.
Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila matahari digulung dan bintang berjatuhan dan apabila gunung dihancurkan dan unta yang bunting ditinggalkan tidak dipedulikan dan apabila binatang liar dikumpulkan dan lautan dijadikan meluap dan apabila roh dipertemukan dengan tubuh, bayi perempuan dikuburkan hidup-hidup ditanya kerana dosa apakah ia dibunuh, dan apabila catatan amal perbuatan manusia dibuka dan langit dilenyapkan dan apabila api neraka jahim dinyalakan dan syurga didekatkan, maka setiap jiwa akan mengetahui apa yang sudah dikerjakannya, sesungguhnya Aku bersumpah dengan bintang yang beredar dan terbenam demi malam apabila sudah hampir meninggalkan gelap dan demi subuh apabila fajarnya mula menyingsing, sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman Allah yang dibawa oleh utusan mulia yang mempunyai kekuatan, kedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai arsy ditaati lagi dipercayai." (Surah at-Takwir, ayat 1-21)
Rasa takut dan cemas terbayang menekan kita. Ketakutan meliputi seluruh alam dan mencemaskan jiwa serta menggoncang dada. Malah, ketakutan mencengkam seluruh bumi dan langit yang digerakkan lagi oleh ketakutan dan digentarkan pula oleh firman-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila terjadi hari khiamat, tidak seorang pun dapat berdusta mengenai kejadiannya. Kejadian itu merendahkan satu golongan dan meninggikan golongan yang lain. Apabila bumi digoncang sedasyatnya dan gunung dihancur luluhkan sehancurnya, maka jadilah debu yang berterbangan." (Sural al-Waqiah, ayat 1-6)
Pada saat lain, ketakutan itu terlintas dalam bayangan dan bergoncang perasaan. Semua itu sebagai peringatan kepada kita untuk menambah ketaatan dan ketakwaan.
Firman Allah yang bermaksud: "Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang besar dan dasyat. Ingatlah pada hari ketika kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya. Dan gugurlah kandungan semua wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya." (Surah al-Hajj, ayat 1-2)
Demikian gambaran demi gambaran yang ditampilkan Allah mengenai pemandangan hari kiamat. Sesekali perasaan takut merasuk ke jiwa dan pada saat lain berasakan kemantapan dan ketenangan.
Sesekali terbayang api neraka yang membakar dan sesekali pula hembusan sejuk angin syurga menerpa, lantaran itu pengenalan terhadap alam akhirat menjadi penting dan sempurna sebelum hari yang dijanjikan itu tiba.
Firman Allah yang bermaksud: "Hari kiamat; apakah hari kiamat itu? Tahukah kamu, apakah hari kiamat itu? Pada hari itu manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihamburkan." (Surah al-Qariah, ayat 1-5)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, ibu bapanya, isteri dan anaknya setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan."
Demikian paparan yang diungkapkan al-Quran mengenai peristiwa yang mengerikan. Ungkapan pemandangan kiamat tentu meresap, membangkit kesedaran dan keinsafan. Betapa hari kiamat senantiasa menjadi perhitungan dalam hidup. Ia begitu lekat dalam hati dan lisan. Lantas kita pun bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan dan ketaatan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Allah akan melipat petala langit di hari kiamat lalu menggenggam dengan tangan kanan-Nya seraya berkata; Aku Raja segala raja! Di manakah orang yang membesarkan diri? Di manakah orang yang menyombong diri? Kemudian Dia melipat bumi dengan tangan kiri-Nya seraya berkata: Akulah Raja segala Raja! Di manakah orang yang menyombong diri?"
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan kamu tidak akan mencapai setinggi gunung." (Surah al-Isra', ayat 37)
Kesombongan itu menggelapkan jalan ke syurga, merosak pergaulan, merenggang pertalian, memecah perpaduan. Al-Quran sebagai mukjizat dan penawar selayaknya ditampilkan sebagai panduan, peringatan bukan sekadar bacaan dan nyanyian malah sebagai penyatuan serta keinsafan.
Justeru, al-Quran sebagai mukjizat dan penawar bukan saja untuk dihayati keindahannya, malah memberi petunjuk untuk membina ketaatan, menjadi orang beriman yang membela kebenaran, memelihara diri daripada dosa dan kemurkaan.
Mengingati hari akhirat memberi kesedaran dan keinsafan bahawa penghujung jalan terbentang suatu lagi perjalanan yang masih panjang.